Gambar hiasan
Apabila Izrail sampai kepada iblis, Izrail terus mengherdiknya. Iblis terus pengsan. Sebaik tersedar, malaikat Izrail pun membentak iblis sekali lagi.
"Kini aku rasakan kepadamu kepedihan maut sebagaimana dirasakan oleh kebanyakan orang yang telah engkau sesatkan seluruh abad sepanjang engkau hidup. Inilah hari kematianmu! Ke manakah engkau hendak lari lagi wahai iblis?", herdik Izrail.
Maka larilah iblis kerana ketakutan yang teramat sangat sampai kehujung timur dunia. Sekelip mata sahaja Izrail muncul di hadapannya. Iblis cuba melarikan diri dengan menyelam ke dasar laut.
Namun Izrail dengan sekelip mata dapat mengejarnya. Iblis lari pula dengan mengelilingi bumi. Namun Izrail tetap juga dapat menemuinya.
Akhirnya, iblis kepenatan dan berputus asa. Lalu iblis lari mendapatkan kubur Nabi Adam a.s.
"Wahai Adam! Disebabkan engkaulah aku dilaknat Allah dan dihalau dari Syurga. Aduhai sekiranya aku tidak pernah diciptakan... alangkah baiknya", ratap iblis sambil disaksikan Izrail yang sudah bersedia untuk mencabut nyawa iblis.
Iblis bertanya kepada Izrail: "Apakah minuman dan seksaan yang akan dikenakan kepadaku?".
Izrail menjawab dengan suara bagaikan halilintar: "Engkau akan diberi minuman daripada neraka Ladha. Diseksa dengan seksaan berlipat kali ganda daripada ahli neraka lain yang telah engkau sesatkan!".
Iblis terlalu takut hingga bergulingan dan meraung sekuat-kuatnya. Kemudian iblis kehilangan punca akibat ketakutan yang teramat sangat sehinggakan iblis lari berulang-alik dari Timur ke Barat.
Turunlah malaikat Zabaniyyah yang bertanggungjawab menjaga neraka untuk membantu Izrail. Zabaniyyah pun menghalang iblis dengan tombak-tombak berapi dari neraka Ladha. Selepas itu tubuh iblis ditikam dengan tombak berapi dari serata arah.
Tersungkurlah iblis dalam keadaan sakaratulmaut. Kemudian datanglah Adam a.s. dan Siti Hawa untuk melihat sendiri keadaan iblis yang pernah menyesatkan mereka dan menyebabkan Allah mengeluarkan dari Syurga.
Setelah mendapati iblis dalam keadaan nazak, Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa pun berdoa kepada Allah: "Ya Allah Ya Tuhan kami. Sesungguhnya dikau telah menyempurnakan nikmat-Mu kepada kami!".
No comments:
Post a Comment