Diketahui ramai, tangan kiri sememangnya tidak sesuai digunakan untuk menyuap makan ke mulut. Tapi, mengapa? Entri ini merungkai persoalan anda.
Dek kerana kidal, mungkin ada sesetengah orang yang tidak biasa makan menggunakan tangan kanan.
Hukum asal untuk seseorang Muslim itu makan adalah dengan menggunakan tangan kanan berdasarkan hadis dari Ibnu Umar r.a. yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Janganlah sesiapa daripada kamu makan dan minum dengan tangan kirinya kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari).
Dikecualikan jika seseorang itu tidak berdaya disebabkan tangan kanannya kudung, cacat, lumpuh, sakit atau sebagainya.
Maka ketika itu hukumnya adalah harus dia makan menggunakan tangan kiri kerana seseorang tidak diperintahkan melebihi dari kemampuannya.
Manakala maksud makan ialah perlakuan menyuap makanan ke dalam mulut dan itu yang dituntut dengan tangan kanan.
Adapun memindahkan makanan daripada hidangan ke dalam pinggan seperti mencedok makanan dari bekas hidangan, perbuatan itu tidaklah dinamakan makan.
Jika dapat menggunakan tangan kanan, itulah yang sebaik-baiknya. Namun jika merasakan memegang sudu dengan tangan kanan yang ada sisa makanan dan boleh menimbulkan perasaan tidak selesa orang lain yang makan bersama kita, maka tidak mengapa menggunakan tangan kiri.
Ini kerana adat dan pandangan manusia setempat juga diambil kira oleh Islam selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.
No comments:
Post a Comment