Tuesday, 12 May 2015

SEBULAN SELEPAS GST APA BARANG YANG TURUN HARGA SEPERTI DIJANJIKAN?????






Menurut iklan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang disiarkan di televisyen, harga barang akan turun kerana cukai ini menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menurut iklan tersebut, 30% barangan harganya akan turun, cuma 10% sahaja yang akan naik.

Tapi selepas sebulan pelaksanaan GST, saya perhatikan lebih banyak lagi harga naik dari yang turun.

Dan cukai lama, SST yang kononnya digantikan dengan GST itu seolah-olah masih kekal, berdasarkan harga barang yang hari-hari orang ramai beli.

Dan undang-undang baru – anti pencatutan – ramai yang tidak faham, apakah kebanyakan kedai runcit dan kedai serbaguna ini mencatut, atau terpaksa naikkan harga kerana tidak mempunyai modal besar untuk bersaing dengan syarikat besar seperti Tesco?

Cuba bayangkan diri kita sebagai peniaga kedai runcit, dan keuntungan kurang dari RM500,000, di mana tidak boleh menuntut semula cukai , jadi bagaimana mahu terus kekal berniaga?

Mahu tidak mahu, sebagai peniaga kecil terpaksa naikkan harga, sebab selain kenaikan kos, juga perlu menanggung kerugian daripada GST ini.

Tetapi, apabila menaikkan harga, nanti akan dituduh sebagai mencatut harga.

Sudahlah tidak boleh menuntut cukai dari kenaikan harga akibat GST, dan juga tidak boleh menaikkan harga, kalau tidak, akan didakwa mencatut harga.

Jelas sekali undang-undang baru ini tidak adil kepada peniaga kecil. Dan kalau diperhatikan pun, tidak ada apa pun harga yang turun.

Kalau yang turun harga cuma kereta, rakyat bukan beli kereta setiap hari. Terdapat juga rungutan daripada golongan wanita mengenai harga tuala wanita, dan golongan ibu mengenai harga lampin bayi yang mahal dan dimasukkan dalam harga yang dikenakan cukai GST.

Kalau diperhatikan, harga barangan ini yang mengalami kenaikan mendadak. Bagi pemilik kedai runcit, mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana menanggung beban cukai ini.

Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional ini harus melihat “mood” rakyat dalam pengundian pilihan raya kecil Rompin dan Permatang Pauh yang menyaksikan penurunan undi BN yang mendadak.

Kalau pucuk pimpinan parti ini tidak memikirkan ini sebagai faktor penurunan undi, nanti rakyat boleh ucapkan padan muka lah jika mereka hanya boleh menjadi kerajaan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Desakan untuk mansuhkan GST nampaknya semakin kuat, dan jika kerajaan ini mahu terus bertahan dalam PRU akan datang, kerajaan ini perlu fikirkan semula, atau dibakulsampahkan dalam tong sampah sejarah, jika enggan mendengar kata rakyat.

No comments:

Post a Comment