Monday, 18 May 2015
DUA ADUN DAP DESAK AZMIN DEDAH GAJI,ELAUN DAN BONUS PEGAWAI ATASAN GLC SELANGOR AGAR JANGAN BERSELINDUNG DISEBALIK AKTA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI (PDPA).
Dua ADUN DAP hari ini menggesa Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali segera mendedahkan gaji, elaun dan bonus pegawai atasan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) bagi memelihara aspek ketelusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku Lau Weng San berkata, soalan sama pernah diajukan kepada Azmin dalam pertanyaan bertulis di sidang DUN Selangor pada Mac lalu.
Namun katanya, jawapan yang diterima mendakwa Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) menjadi halangan butiran lanjut didedahkan.
"Saya minta kerajaan negeri percepatkan proses menjawab kerana sehingga sekarang kami belum mendapatkan apa-apa lagi makluman.
"Sekatan yang dikenakan oleh akta itu tidak berkaitan dengan soalan yang kami tanya," katanya pada satu sidang media di lobi bangunan annexe DUN Selangor hari ini.
Lau dalam pertanyaan bertulis kepada Azmin Mac lalu mahu kerajaan negeri menyenaraikan gaji, elaun dan bonus kakitangan atasan GLC seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Namun, jawapan bertulis yang diterimanya menggesa Lau mengemukakan permohonan bertulis kepada Azmin atau setiausaha dewan.
Jawapan bertulis itu turut mengingatkan Lau supaya bertanggungjawab ke atas maklumat tersebut yang tertakluk di bawah PDPA.
Lau berkata, Seksyen 2 PDPA menjelaskan akta itu hanya terpakai kepada data peribadi berkenaan dengan transaksi komersial.
Katanya, Seksyen 3(1) akta itu juga menjelaskan ia tidak terpakai kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
"Kami bertanya tentang gaji dan bonus. Saya tidak percaya ia transaksi komersial. Ia bukan bentuk jual beli.
"Saya percaya syarikat yang dimiliki kerajaan, ia sebahagian daripada kerajaan dan tidak harus dianggap syarikat biasa.
"Ia juga perlu diumumkan kepada Adun yang bertanya soalan dalam Dewan," katanya.
Sementara itu, Adun Kinrara Ng Sze Han berkata pertanyaan bertulisnya yang mahu penjelasan Azmin mengenai jumlah bayaran kepada ahli lembaga pengarah Perbadanan Menteri Besar (MBI) turut terhalang akta sama.
"Ini isu penting dan banyak Adun bercakap mengenainya. Saya amat tidak puas hati dengan jawapan seperti ini.
"Tetapi kami beri peluang kepada kerajaan negeri dan saya akan kemukakan surat kepada menteri besar untuk memohon jawapan yang lengkap secepat mungkin," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment