Tuesday, 12 May 2015

NAMPAKNYA PENDUDUK PERMATANG PAUH TOLAK PERMINTAAN AHMAD MASLAN.





Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan kembali ke Parlimen selepas diisytihar menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh semalam.

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Permatang Pauh, Jusni Ismail, mengumumkan presiden PKR itu meraih 30,316, meninggalkan calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi, iaitu majoriti 8,841 undi.

Dua lagi calon, Azman Shah dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) menerima 101 undi, manakala calon bebas Salleh Ishak menerima 367 undi, manakala sebanyak 843 undi rosak.

Majoriti kali ini lebih rendah di samping peratusan keluar undi yang lebih kecil, 74%, berbanding 88% pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) dua tahun lepas. Bagaimanapun, PKR masih mengekalkan peratusan undinya, iaitu sekitar 57% daripada jumlah keseluruhan undi.

Pada PRU13, Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi itu dengan jumlah undi 37,090, atau 58.56% daripada jumlah keseluruhan undi 63,332, dengan majoriti 11,721.

Sejumlah 71,890 orang layak mengundi pada PRK semalam, dan selesai proses mengundi pada 5.00 petang.

Ketika kiraan undi dilakukan, Dr Wan Azizah tiba di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara, Penanti, disambut sorakan dan jambangan bunga oleh penyokong.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selepas suaminya Anwar dipenjarakan pada 1998, Dr Wan Azizah pernah memenangi kerusi itu pada PRU 1999, 2004 dan 2008, sebelum meletak jawatan beberapa bulan kemudian bagi memberi jalan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam reaksinya mengucapkan terima kasih kepada jentera BN sepanjang kempen.

"Terima kasih atas usaha semua di Permatang Pauh. Barisan Nasional akan tingkatkan lagi azam untuk berjaya di pilihan raya akan datang," katanya dalam kiriman Twitter.

No comments:

Post a Comment